Monday, 17 October 2011

Kelantan vs Terengganu

Demam Piala Malaysia pada tahun ini telah bermula dan kini saingan telah memasuki saingan suku akhir. Saya mengikuti perkembangan Piala Malaysia agak lambat dan mula tertarik apabila mendengar berita kekalahan Kelantan di tangan Terengganu. Perlawanan tersebut agak menarik bukan hanya jumlah jaringan tetapi jumlah layangan kad merah dan kuning yang banyak seterusnya mencatat sejarah baru dalam bola sepak negara.
Rugi pula tidak dapat menonton perlawanan suku akhir pertama tersebut kerana pada hari yang sama berlangsungnya 3 perlawanan yang lain membabitkan pasukan berstatus kelab T-Team menentang Sabah, Felda United bertemu Negeri Sembilan dan Selangor menerima kunjungan Perak di Stadium Shah Alam. Saya hanya sempat menonton perlawanan Selangor menentang Perak yang disiarkan di Astro Arena saluran 801 manakala hanya sesekali mengubah siaran ke TV 1 untuk perlawanan membabitkan Felda United dan Negeri Sembilan.
Jumaat lepas baru saya dapat menyaksikan perlawanan suku akhir kedua di antara 2 pasukan negeri dari Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu di saluran 801 Astro Arena yang menyaksikan ramai peminat bola sepak tempatan dan penyokong setia The Red Warriors membanjiri stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu. Stadium kelihatan penuh dari kaca TV dengan jersi merah putih sehingga menenggelamkan penyokong kuat Skuad Penyu.  
Sebaik sahaja wisel pembukaan ditiup, kedua pasukan mula mengasak dan Kelantan dilihat lebih mendominasi perlawanan di awal permainan dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga memperolehi beberapa peluang awal namun tiada gol dapat dihasilkan. Terengganu pula dilihat bermain secara bertahan kerana telah membawa bekalan selesa dengan 3 gol yang dicipta sewaktu bermain di gelanggang sendiri sebelum ini walaupun dibolosi 1 gol.
Pada minit ke 18 Terengganu memperolehi gol pertama menerusi Ashaari yang melepasi perangkap offside dan tenang melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan setelah menerima hantaran cantik daripada Hadi. Gol tersebut telah menghangatkan suasana di stadium dan selepas itu pelbagai objek mula dilontarkan kedalam padang sehingga menyukarkan pasukan perubatan merawat pemain yang cedera diluar padang.
Kelihatan juga wajah resah pengendali Kelantan, M Karathu sewaktu kamera dihala ke arah beliau. Permainan semakin menarik dengan percubaan daripada Mat Yo yang melepaskan sepakan deras dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Terengganu manakala rembatan Rizal hasil tendangan percuma pula terkena tiang gol.
Sedang Kelantan asyik menyerang, Terengganu pula berjaya mengambil kesempatan di atas kelemahan bahagian tengah Kelantan yang gagal menyekat hantaran pemain Terengganu dan menyaksikan sekali lagi hantaran Hadi kepada Ashaari berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke 40. Di penghujung babak pertama, masa tambahan 4 minit diberikan dan pada minit ke 47 para penyokong Kelantan kecewa apabila jaringan Azam telah dibatalkan kerana offside.
Selepas rehat, Kelantan dilihat lebih bersemangat untuk memburu jaringan kerana memerlukan sekurang2nya 5 gol jika ingin melangkah ke separuh akhir. Ternyata usaha Kelantan tidak sia-sia kerana pada minit ke 54, Azam berjaya menjaringkan gol hasil kesilapan Sharbinee yang tidak menangkap kemas bola yang menuju ke arahnya. Kapten Kelantan yang sebelum ini telah mensia-siakan banyak peluang terhidang telah berjaya menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol pada minit ke 70 menerusi sepakan penalti setelah bola terkena tangan Kapten Terengganu di dalam kawasan penalti.
Suasana di stadium kembali hangat apabila pada minit-minit terakhir perlawanan, balingan mercun dari kawasan duduk penonton telah meletup berhampiran pemain Terengganu yang ingin mengambil sepakan sudut. Walaupun pemain itu tidak mengalami sebarang kecederaan, kawalan keselamatan di stadium oleh pihak pengurusan perlu di pertingkatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat permainan dan kemenangan berpihak kepada Terengganu dengan agregat 5-3. Ternyata Terengganu dapat menyerap segala tekanan manakala taktik dan stategi Irfan Bakti berjaya menyekat kemaraan Kelantan yang dilihat tidak bernasib baik dan banyak peluang tidak memihak kepada Kelantan dalam perlawanan tersebut. Pujian juga harus diberikan kepada pengadil yang berjaya mengawal permainan dengan baik. Tiada sebarang kad merah dilayangkan walaupun beberapa kad kuning diberikan kepada beberapa pemain daripada kedua-dua pasukan.
Keputusan positif yang diperolehi di Kota Bharu pasti menjadi tonik mujarab buat Terengganu yang akan menentang Selangor pada saingan separuh akhir. Selangor gah melangkah ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Perak dengan agregat 4-1. Pasukan mana yang akan menang pada perlawanan separuh akhir nanti dan seterusnya ke pusingan akhir untuk menjulang Piala Malaysia, sama-sama kita nantikan keputusannya.

P/s : Go Red Giant Go!





No comments:

Post a Comment