Tuesday, 18 October 2011

Selangor vs Terengganu - Separuh Akhir Pertama

Malam tadi berlangsung perlawanan separuh akhir pertama menemukan 4 pasukan terbaik yang bertanding pada edisi Piala Malaysia tahun 2011. Pasukan Selangor menjadi tuan rumah menentang Terengganu dan Negeri Sembilan bertandang ke Kuala Terengganu bertemu T-Team.
Di stadium Shah Alam, Selangor tewas di gelanggang sendiri dan disaksikan oleh lebih kurang 20 ribu (angka diperolehi daripada pengulas bertugas) penyokong bola sepak tempatan yang membanjiri stadium. 2 gol jaringan Abdul Manaf Mamat pada separuh masa pertama kekal sehingga tamat permainan.
Gol pertama Manaf agak unik kerana jarang jaringan seperti yang dilakukannya dapat disaksikan dalam mana-mana perlawanan bola sepak. Beliau kelihatan seperti hendak terjatuh tetapi masih sempat menghulurkan kakinya untuk menyentuh bola sehingga menyebabkan penjaga gol Selangor tergamam dan tidak menyangka bola itu menerjah jaring.
Manakala gol kedua Terengganu terhasil apabila rembatan leret Manaf dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Selangor buat kali kedua. Kesilapan benteng pertahanan Selangor menjadi punca kerana tidak dapat menyekat pergerakan Manaf dan membiarkan beliau bergerak bebas sehingga dapat menjaringkan gol.
Dua gol yang diperolehi menjadi bekalan selesa buat Terengganu ketika menanti kunjungan Selangor di Kuala Terengganu Sabtu nanti. Pasukan Terengganu dilihat mampu melangkah ke pusingan akhir Piala Malaysia jika mampu mempertahankan kelebihan dimiliki di laman sendiri.
P. Maniam perlu memikirkan sesuatu di Kuala Terengganu jika ingin merealisasikan ‘Misi 33’. Pastinya beban yang sangat berat dipikul oleh beliau dan beban tersebut juga terletak dibahu 11 orang pemain Selangor yang perlu berusaha sebaik mungkin untuk menyalakan impian menjulang Piala Malaysia tahun ini.

No comments:

Post a Comment