"ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM"
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Khutbah hari ini akan membincangkan Etika Perniagaan Dalam Islam. Perniagaan adalah merupakan suatu aktiviti ataupun kerjaya yang amat dimuliakan oleh Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan bukan sahaja sebagai sunnah Rasulullah s.a.w, bahkan menjanjikan kepada umatnya hasil keuntungan dengan syarat perniagaan itu mesti disulami dengan usaha yang bersungguh-sungguh berlandaskan asas-asas muamalat Islam. Suatu ketika Nabi s.a.w. pernah ditanya berkenaan sesuatu pekerjaan yang paling mulia, lantas Baginda s.a.w bersabda;
"(Pekerjaan tersebut adalah) Jual beli yang mabrur (diredhai) dan pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan usahanya sendiri".
Allah SWT mengurniakan kelebihan atau keuntungan kepada para peniaga iaitu dengan mengurniakan limpahan rahmat dan meletakkan para peniaga jujur dan amanah sebaris dengan para anbia' dan syuhada' di akhirat kelak sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w;
"Sesungguhnya ahli perniagaan yang jujur lagi amanah akan bersama-sama para Nabi, kumpulan orang yang jujur dan para syuhada (di hari kebangkitan)".
(Riwayat At-Tirmizi)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Cabaran utama dalam perniagaan yang dihadapi oleh peniaga ialah kemungkinan sama ada untung ataupun rugi. Biasanya peniaga sentiasa mengidamkan keuntungan yang berlipat ganda. Namun terdapat sebahagian manusia yang cenderung menghalalkan segala muamalat haram semata-mata untuk meraih keuntungan berlipat ganda dengan cepat.
Kesan yang tidak sihat daripada perbuatan itu, menjadikan ada peniaga mengambil kesempatan setiap kali kenaikan gaji dengan menaikkan harga barangan keperluan asas yang akhirnya membebankan pengguna.
Tidak kurang juga ada peniaga yang tidak beretika sanggup melakukan ihtikar iaitu cara monopoli barangan dan penipuan dalam timbangan, penipuan dalam kualiti dan kuantiti barang serta penipuan dalam harga, kesemuanya itu adalah haram dalam Islam.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3:
"Kecelakaan besar bagi orang yang curang (menipu dalam timbangan dan sukatan). Iaitu apabila mereka menerima sukatan daripada orang lain mereka meminta dipenuhi; dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Justeru , langkah yang terbaik bagi peniaga-peniaga Islam ialah dengan mengikut teras perniagaan yang dianjurkan oleh Allah SWT .
Firman Allah SWT dalam surah Fatir ayat 29-30:
"Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta menafkahkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara tersembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahakan mereka daripada limpah kurniaan-Nya)".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bahawa Allah SWT akan memberikan ganjaran yang tidak terhingga kepada orang yang melakukan urusan perniagaan dengan tiga amalan utama iaitu pertama membaca dan dan bertadabbur Al-Quran, kedua menyegerakan pelaksanaan solat dan ketiga menafkahkan sebahagian harta yang dimiliki kepada golongan yang memerlukan.
Peniaga yang baik sentiasa membaca dan memahami Al-Quran di samping menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan pembimbing ke arah menjalankan aktiviti perniagaannya dengan penuh jujur, adil dan saksama. Al-Quran akan bertindak sebagai perisai bagi seorang peniaga daripada melakukan penipuan, penyelewengan, rasuah dan lain-lain amalan yang ditegah oleh syarak, termasuklah peniaga-peniaga pasar malam supaya tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT.
Sebagai contoh peniaga yang beroperasi pada hari Jumaat hendaklah menutup perniagaan mereka sebaik sahaja azan berkumandang. Mereka hendaklah meninggalkan urusan perniagaan untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah. Urusan perniagaan hendaklah dihentikan untuk menghormati solat Jumaat yang hanya diadakan sekali dalam seminggu. Khutbah Jumaat hendaklah didengar dan diamati untuk dihayati bukan sekadar syarat Jumaat. Ingatlah, keberkatan hanya akan diperolehi hasil daripada ketaatan kepada Allah SWT kerana rezeki dan keuntungannya adalah kurniaan Allah SWT semata-mata.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ankabut ayat 45:
"Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya). (Ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Peniaga yang bertanggungjawab hendaklah menafkahkan sebahagian harta yang dimiliki untuk pembayaran zakat dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, pesakit yang memerlukan sumber kewangan bagi menampung kos perubatan mereka dan lain-lain. Amalan menafkahkan harta kepada tujuan-tujuan tersebut pasti dapat menambahkan keberkatan harta yang dimiliki.
Kesimpulannya untuk menjadikan perniagaan kita diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT kita hendaklah melaksanakan etika perniagaan seperti berikut:
Pertama : Memahami bahawa kerja sebagai ahli perniagaan itu adalah mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
Kedua : Semua jenis perniagaan hendaklah berteraskan kepada asas-asas muamalat Islam yang tidak bercanggah dengan syarak.
Ketiga : Kejujuran dan amanah adalah menjadi kunci kejayaan dalam perniagaan.
Keempat : Tidak melakukan penindasan terhadap para peniaga yang lain dengan cara monopoli barangan di pasaran.
Kelima : Para peniaga dan pekerja hendaklah sentiasa mengikut etika Islam dengan sentiasa berwudhuk, menutup aurat, menjaga pergaulan bebas dan yang paling penting menunaikan solat dan berzakat untuk menambahkan keredhaan dan keberkatan Allah SWT.
Keenam : Seseorang peniaga juga hendaklah sentiasa menginfakkan sebahagian hartanya untuk Islam, membantu golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya kerana inilah sebahagian punca rezeki yang kebanyakan peniaga tidak menyedarinya.
Oleh itu, marilah kita meninggikan ekonomi umat Islam dengan melibatkan diri dalam perniagaan yang sentiasa mendapat keredhaan, keberkatan dan keampunan Allah SWT.
"Lelaki yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah dengan mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya hati dan pandangan menjadi gusar".
( An-Nur: 37)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Khutbah Jumaat Bacaan 28 Oktober 2011
http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/Khutbahjumaat(rumi)28102011.pdf
http://e-masjid.jais.gov.my/uploads/uploads/Khutbahjumaat(rumi)28102011.pdf
No comments:
Post a Comment