Bola Sepak - Sukan SEA

Undian untuk sukan bola sepak sempena Sukan SEA di Jakarta, Indonesia telah pun dilakukan. Ternyata undian tersebut dilihat sebagai tidak bernasib baik apabila pasukan Harimau Muda diundi bersama Thailand, Singapura, Indonesia dan Kemboja di dalam Kumpulan A yang turut digelar ‘Kumpulan Maut’.
Ancaman terbesar pastinya datang daripada Indonesia kerana selain daripada kelebihan menjadi tuan rumah, Indonesia juga memiliki barisan pemain yang mantap dan boleh menutup peluang kemaraan pasukan negara kita ke peringkat seterusnya.
Masih segar dalam ingatan, kekalahan pasukan senior kebangsaan kepada Singapura dalam cabaran kelayakan Sukan Olimpik pasti menjadi dendam yang perlu dibalas oleh skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan apabila bertemu pada perlawanan pertama pasukan kebangsaan di dalam Kumpulan A.
Thailand dan Kemboja dilihat sebagai duri dalam daging yang boleh meranapkan impian skuad kendalian Ong Kim Swee. Jurulatih pasukan B-23 kebangsaan  itu perlu memikirkan strategi yang terbaik bagi memastikan pasukan Harimau Muda melepasi halangan peringkat kumpulan dan seterusnya memburu slot ke pusingan akhir.
Bagi aksi Kumpulan A, Malaysia dijadualkan bertemu Singapura pada 9 November, Thailand (10 November), Kemboja (15 November) dan Indonesia (17 November) manakala aksi separuh akhir dan final diadakan pada 19 dan 21 November.
Pastinya harapan yang sangat tinggi disandarkan kepada para pemain untuk memastikan pingat emas Sukan SEA tahun ini berada di dalam genggaman. Pemain Harimau Muda perlu fokus, menyerap segala tekanan dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana turun bermain sebagai status juara Sukan SEA edisi tahun lalu di Laos.